ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
An-Nahl 125
Saya agak terkejut bila mendengar bahawa hukum mengucapkan Selamat Krismas atau Hari Natal adalah Haram secara Ijma’ Ulama. Kerana memang saya seorang yang masih perlu banyak belajar lagi. Ustaz yang mengajar kuliah ugama setiap selepas solat subuh, menyatakan Seluruh Majlis Ulama Indonesia juga mengharamkan ucapan tersebut. Walaupun badan saya agak sakit-sakit pada mulanya dan kepala agak pening kerana demam, tetapi bila mendengar topik ini, segala kesakitan itu hilang sendirinya. Kami berbahas dan hasil perbahasan itu antaranya saya menyimpulkan perkara-perkara berikut.
Sebelum menulis nota ini, saya juga telah mengecek dalil-dalil mengapa ucapan itu diharamkan oleh ulama. Ketika membaca rencana yang menyatakan bahawa ucapan Hari Natal adalah Haram dengan Ijma’ Ulama, maka kepala saya berfikir ligat, betulkah semua ulama mengharamkannya? Kepala saya yang agak pening, sampai tidak terasa lagi kesakitannya. Namun apabila saya selidik di internet lebih jauh lagi (walaupun pendapat-pendapat itu adalah pendapat ulama yang bukan muktabar), saya dapati bukanlah semua ulama sependapat dengan pengharaman ini, oleh itu untuk mengatakannya adalah Ijma’ulama sebenarnya perlu ada system khusus, samada ulama lain berdiam diri ketika ulama lain berpendapat, atau perlu ada muk’tamar Islam sedunia untuk mengesahkan pendapat Ijma’ itu berlaku. Jika kedua-duanya tidak berlaku maka Ijma’ ulama tidak boleh berlaku. Atau jika Ijma’ memang telah dilihat berlaku, adakah ia betul-betul telah di’Ijma’kan oleh Ulama. Kerana mungkin ada ulama yang tidak menyatakan pendapatnya keseluruh dunia Islam secara meluas, tetapi hanya memberikan pendapat pada sebilangan kecil sahaja.
Walaupun sebahagian pendapat di dalam Ijma’ ulama bertentangan dengan Hadis dan al-Qur’an, Ijma’ Ulama boleh berlaku jika ia suatu pendapat yang telah lama dan kita tidak mendengar ada ulama yang mengutarakan bantahan terhadap pendapat itu. Bahkan hasil dari pendapat ulama itu juga kita lihat mendatangkan kebaikan. Sebagaimana kita melihat penulisan Hadis-hadis Rasulullah saw. Walaupun Rasulullah saw melarang penulisan hadis-hadis baginda kerana mungkin ia akan mengelirukan penulisan al-Qur’an, namun pada hari ini kita lihat tiada siapapun ulama yang mulia itu yang menentang penulisan hadis. Bermakna Ijma’ulama telah berlaku walaupun ia berlainan dengan Hadis Rasulullah saw.
Begitu juga dengan Solat Tarawih 20 Rakaat. Walaupun Nabi Muhammad saw tidak pernah melaksanakannya, ianya bukanlah suatu yang tidak dibolehkan, kerana kita telah melihat pada Zaman Sahabat r.a. Saidina Umar al-Khattab telah sepakat dengan sahabat-sahabat yang lain untuk membolehkan Solat tarawih 20 rakaat. Dan kita tidak melihat sebarang bantahan ulama maupun sebarang keburukan berlaku di atas penambahan ibadat tersebut.
Namun bila hukum sesuatu dikatakan telah di Ijma’ ulama dan kita lihat pula hukum Ijma’ itu tidak disandarkan kepada siapa mereka yang telah berIjma’ itu, bahkan kita melihat wujudnya keperluan untuk maslahah masyarakat yang amat penting untuk membuka ruangan bagi pendapat lain untuk diterimapakai. Maka tidak salah kita memakai pendapat yang sedikit itu.
Mari kita lihat dulu dalil dan alasan Ulama yang mengharamkan ucapan Krismas. Selepas itu saya akan selitkan terus mujadalah saya mengenainya di bawah hujjah pengharaman itu satu demi satu.
Dalil dan alasan mereka mengharamkan ucapan Krismas ialah:
1. Haram Meredhai Kekufuran
Kita tidak boleh meredhai kekufuran dalam akidah mereka dan upacara yang dibuat di dalamnya. Sesiapa yang meredhai kekufuran itu Kufur. Meredhai kekufuran tidak sama dengan meredhai maksiat lain. Meredhai maksiat lain hanya jatuh kepada hukum haram sahaja. Sedangkan meredhai kekufuran akan jatuh kepada kufur. Wa iyadzu billah min dzalik.
Mujadalah saya:
(Saya berpendapat, tidak mesti jika kita melafazkan selamat menyambut hari lahir Nabi Isa itu redha kepada kekufuran akidah dan kekufuran maksiat yang mereka laksanakan dalam upacara menyambut hari kelahiran Nabi Isa a.s. itu. Kerana ugama nasrani itu ada dua, satu yang betul dan satu lagi yang salah. Walaupun kedua-duanya adalah ugama yang tidak boleh dianuti sekarang, namun jika kita niatkan kepada akidah yang betul di dalam ugama Nasrani bahawa Nabi isa itu bukan Anak Allah swt, atau Nabi Isa tidak disalib, maka ianya adalah niat yang baik.
Bukankah dalam Islam dibolehkan kita melafazkan sesuatu yang mesti kita lafazkan asalkan hati kita tetap dengan Iman. Firman Allah swt dalam Surah An-Nahl ayat 106:
Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.
Oleh itu bila kita merasa perlu untuk melafazkan kekufuran saja kita dibolehkan asalkan tidak ada niat kufur , apatah lagi jika niat kita adalah dakwah dan pesanan yang baik.)
2. Wajib Meninggikan Syiar Allah swt dan Haram Meninggikan Syi’ar lain.
Umat Islam wajib meninggikan syiar Allah swt. Kalau kita menyambut atau mengucapkan Selamat Menyambut Krismas, bermakna kita meninggikan syiar lain selain syiar Allah.
Mujadalah Saya:
(Saya berpendapat mengucapkan selamat kepada penganut nasrani dengan kelahiran Nabi Isa a.s., boleh diniatkan dengan syiar Islam, kerana beriman kepada Nabi-Nabi Dan Rasul adalah wajib pada umat Islam, dan selain wajib beriman, kita juga wajib mencintaiNya. Bahkan kita dilarang membeza-bezakan di antara Rasul itu. Oleh itu jika kita menyambut Sambutan Maulid Nabi Muhammad saw, maka apa salahnya bahkan kita perlu menyambut sambutan hari kelahiran Nabi dan Rasul yang lain.
3. Tarikh Tidak Betul
Hari sambutan itu yang tidak pasti. Bahkan ianya mungkin adalah saduran dari ugama penyembah matahari.
Mujadalah Saya:
( Saya berpendapat, Hari kelahiran Nabi Muhammad saw sendiri ada perbezaan pendapat ulama di dalamnya, maka tidak ada masalah sebenarnya jika hari kelahiran Nabi Isa itupun ada keraguan pada tarikh tepatnya. Manakala kemungkinan ianya adalah saduran ugama penyembah matahari itu hanyalah perasangkanan kita sahaja. Kita tidak pernah mendengar ada ugama penyembah matahari ketika ini yang mengakui hari 25 Disember itu adalah hari kelahiran ugama mereka atau kelahiran ketua ugama mereka yang terdahulu. Bahkan jika kita tidak meniatkan sambutan itu kepada sambutan ugama penyembah matahari, maka ia tidak akan tersasar kepada sambutan itu.)
4. Maksud Selamat
Ucapan Selamat kepada orang yang berbuat maksiat adalah haram. Mengatakan selamat itu bermaksud selamat dunia dan Akhirat.
Mujadalah Saya:
(Saya berpendapat kita boleh berniat semasa memberikan ucapan selamat itu makna selamat yang kita doakan untuk orang hidup ialah bermakna hidayah, iaitu agar mereka mendapat hidayah dan seterusnya mengikuti hidayah itu keakhir hayat mereka, sehingga mereka selamat di akhirat. Dengan cara ini, kita bermaksud mereka tidak akan masuk syurga dengan kekufuran mereka, tetapi apabila mereka telah menerima hidayah dari Allah swt)
5. Maksud Krismas
Krismas bermaksud Nabi Isa yang disalib. Sedangkan ia bertentangan dengan aqidah Umat Islam kerana dalam kepercayaan Umat Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab al-Qur’an, Nabi Isa a.s. tidak disalib. Jadi lafaz Ucapan Krismas itu sendiri adalah haram.
Mujadalah Saya:
(Saya berpendapat lafaz Krismas perlu ditukar kepada Nabi Isa a.s. sahaja. Bahkan ucapan Selamat Hari Kelahiran Nabi Isa ini adalah sebagai syiar ugama Islam yang mencintai dan wajib beriman kepada Nabi-Nabi dan Rasul yang dinyatakan di dalam al-Qur’an. Siapa yang tidak beriman dan tidak mencintai apa yang dicintai oleh Allah swt, maka keimanan mereka adalah cacat.
Ucapan Selamat Hari lahir Nabi Isa a.s. akan membahagiakan dan menyenangkan umat nasrani. Dengan ucapan ini, mereka akan senang menerima hidayah dan mempelajari agama Islam. Bahkan mudah-mudahan mereka akan bertanya-tanya kepada kita, kenapa kita mencintai Nabi Isa a.s. sehingga kita juga menyambut hari lahirnya atau sekurang-kurangnya menyatakan ucapan selamat menyambut hari lahir Nabi Isa a.s.
Berbanding dengan mengharamkan ucapan itu, ia akan semakin menjauhkan mereka dari ugama Islam, bahkan akan mendatangkan kemurkaan Allah swt kepada kita, kerana mereka akan membalas balik kepada kita, membenci ugama Islam dan mencaci ugama Islam dan mengatakan ugama Islam kasar, tidak bersifat kemasyarakatan, tiada sifat kemanusiaan dan tiada sifat kasih sayang sesama makhluk Allah swt.
Sedangkan apa yang diharamkan bagi kita adalah jelas, iaitu kita dilarang mengatakan Nabi Isa a. s. itu disalib, dilarang mengatakan Nabi Isa a.s. anak Tuhan, Dilarang mengatakan Tuhan itu tiga, dilarang mengatakan bahawa Tuhan berkahwin dengan Siti Maryam, dilarang melakukan semua perkara-perkara haram dan redha kepada yang haram.
Adapun mengucapkan selamat hari Lahir Nabi Isa tidaklah disebut dengan tepat di dalam al-Qur’an dan hadis Nabi Muhammad saw. Dan saya berpendapat ia tidaklah haram, jika kita niatkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang mereka katakan dan niatkan , bahkan yang mereka lakukan yang bertentangan dengan akidah Islamiah.
Bukankah keredhaan dalam hati itu boleh ditolak dengan hati juga demi untuk kepentingan kemasyarakatan dan dakwah, kerana setiap umat Islam itu perlu berdakwah. Dan menunjukkan dakwahnya kepada Umat Nasrani dan bukan Islam.
6. Tidak Perlu Ucapan Selamat Jika Sudah Harmoni
Bukankah kita hanya perlu untuk mengucapkannya bila kita perlu, tetapi jika tidak perlu lagi mengucapkannya, ia balik semula kepada asalnya iaitu haram.
Mujadalah Saya:
Jika seorang Islam itu boleh mengekalkan dakwah dan hubungan kejiranan atau persahabatan dengan yang bukan Islam tanpa perlu ucapan selamat menyambut hari kelahiran Nabi Isa, maka ia perlu juga merasakan rasa cintanya kepada Nabi Isa a.s.
Kepada siapa lagi kita patut menunjukkan rasa cinta kita kepada Nabi Isa a.s. jika bukan kepada Penganut Nasrani. Bahkan saya yakin bahawa itulah sebab kenapa Allah swt dan Nabi Muhammad saw mewajibkan kita mengimani Rasul-Rasul yang lain dan wajib juga mencintai mereka, iaitu agar kita akan dapat mengajak penganut ugama lain itu agar beriman kepada Allah swt dan juga Nabi Muhammad saw. Yang amat dicintai.
Lebih-lebih lagi jika kita selitkan dalam ucapan itu, nasihat-nasihat agar mereka ikhlas, menjaga diri dari kemungkaran dan sebagainya, bahkan jika tidak menjadi halangan, menyelitkan sedikit keterangan bahawa asal ugama Kristian itu adalah mempercayai Allah swt yang satu. Kalau kita tidak mengucapkan ucapan hari lahir kepada Nabi Isa a.s. kepada mereka, maka sudah tentu mereka tidak akan mendengar dakwah kita.
Katakanlah kepada mereka bahawa kita juga mencintai Nabi Isa a.s. sebagai Nabi dan Rasul yang amat dicintai Allah swt. Bahkan kepercayaan kita kepada Nabi Isa a.s tidak berbeza dengan kepercayaan kita kepada Nabi Muhammad saw. Cuma yang berbeza adalah syari’atnya sahaja. Aqidah mereka tetap sama.
Berdakwah dengan rasa Iman dan cinta kepada Nabi Isa a.s. ini, kita melihat sudah banyak dalam sejarah umat kristian yang telah memeluk ugama Islam. Tapi kenapa sekarang ini perkara itu tidak berulang lagi?. Adakah kerana kita mempercayai nabi Isa a.s. tetapi tidak mencintainya sebagaimana kita diperintahkan? Adakah kerana kita bertutup mulut sahaja semasa mereka merayakan hari kelahiran Nabi Isa a.s. itu, sehingga mereka langsung tidak mahu mendengar apa-apa ucapan dakwah dari kita.
7. Hanya Ucapan Selamat Hari Lahir Nabi Isa Saja Yang Betul, jangan di tambah Krismas atau Christian
Jadi ucapkanlah selamat hari Lahir Nabi Isa a.s. agar mereka akan mendengar dakwah kita setelah itu. Oleh itu cuma satu sahaja yang tinggal lagi mengenai pendapat Ulama-ulama, iaitu kita tidak boleh mengatakan dan Haram mengatakan bahawa Nabi Isa a.s. di Salib. Maka kita tidak boleh menyebut Nabi Isa a.s Jesus Christ.
Kerana Christ itu bermaksud Cross dalam bahasa latinnya. Oleh itu juga kita tidak boleh menyebut dengan nama ugama Kristian untuk mereka melainkan dengan nama Ugama Nasrani sahaja.
Tetapi Jesus sahaja diboleh , sebab Jesus itu bermaksud Isa dalam bahasa Latin. Kita selalu mendengar huruf J menjadi I dan I menjadi J. Bahkan dalam bahasa Melayu pun sama. Negeri Jepun disebut Yaban oleh Arab. Nursalam disebutkan Jerusalem, Yogya dikatakan Jogja.
Semoga bermanfaat dan semoga diterima oleh Allah swt jua dan semoga dimaafkan segala kesalahan kita semua. Aaamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan