Bismillah:
Kita sering saja melihat pendapat-pendapat ulama berbeza antara satu dengan lain. Dan kita diingatkan agar jangan sesuka hati memilih pendapat ulama-ulama itu agar kita tidak mudah memilih mana pendapat yang ringan bagi kita.
Bahkan kita sering melihat bahawa ada di antara ulama mensyaratkan syarat-syarat yang ketat untuk memilih pendapat ulama. Ada pendapat yang mengatakan jika kita mahu memilih pendapat ulama yang datang dari madzhab yang lain, maka kita perlu mengikut madzhab mereka dari awal.
Umpamanya berwudhu, jika kita mahu agar wudhu kita tidak batal bila bersentuhan dengan perempuan, maka kita perlu berwudhu seperti wudhu cara madzhab Maliki, iaitu dengan mengenakan air seluruh anggota wudhu dengan menyapunya bukan dengan hanya meyiramkan air wudhu di anggota wudhu saja.
Kita tidak menyanggah pendapat ulama seperti ini bahkan menyokong mereka, kerana memang kita juga mahu menggalakkan agar pengikut-pengikut dalam madzhab kita agar berwudhu sebagaimana wudhu pengikut madzhab Maliki seperti yang kita sebutkan di atas.
Kerana cara inilah yang terbaik dan terjamin kesahihannya kerana mengikut cara-cara wudhu Rasulullah saw. Adapun cara-cara madzhab yang lain, bukanlah kita mahu membantahnya atau mengatakan ia salah, namun cara-cara madzhab yang ringan itu dikhuatiri hanya akan menjauhkan kita dari Allah swt jua. Dikhuatiri jua akan mengurangkan khusyuk, dan dikhuatiri jua akan menjadikan pahala solat kita kurang sempurna.
Tentu sahaja kita tidak mau pahala yang tidak sempurna bukan? Lebih-lebih lagi pahala solat fardhu. Jika pahala solat fardhu kita tidak sempurna, bukankah bermakna juga kita masih berhutang pada Allah swt.?
Walaupun kita boleh menambal kekurangan itu dengan solat sunat dan amalan sunat, tetapi tidakkah kita mahu untuk menjadikan amalan sunat kita sebagai penambah seri pada amalan kita, bukannya sebagai penambal. Walaupun tambal boleh menutup aurat, Bukankah tambalan itu sesuatu yang kurang elok, lebih lagi untuk suatu yang kita persembahkan pada Allah swt.
Oleh itu marilah memilih pendapat yang terbaik daripada pendapat-pendapat ulama, dan pendapat-pendapat yang terbaik itu adalah pendapat-pendapat yang paling hampir dengan Al-Qur'an dan juga Hadis Rasulullah saw.
Orang Alim Wajib Mengkaji Pendapat Ulama Dan Haram Bagi Mereka Menyembunyikan Ilmu
Selain dari pendapat yang terbaik, kita juga ada berjumpa perbezaan pendapat yang kita tidak dapat bezakan mana satu yang terbaik. Kerana pendapat kedua-duanya bersumberkan al-Qur'an dan juga Sunnah. Bahkan pendapat kedua-dua pihak adalah pendapat Imam Madzhab. Seperti pendapat yang satu ialah pendapat Imam Syafie dan yang satu lagi pendapat Imam Hanafi.
Kalau kita orang biasa yang tidak ada ilmu, maka kita akan mengikut aliran madzhab kita, iaitu Madzhab Syafie. Namun sebagai orang yang berilmu, maka haram bagi kita untuk mengikut sahaja semata-mata pendapat mereka.
Oleh itu kita perlu mengkaji darimana asal pendapat-pendapat itu dan memilih jalan yang terbaik daripada pendapat-pendapat itu dan kemudian menerangkannya pada umum. Haram bagi kita menyembunyikan ilmu yang ada pada kita. Walaupun ilmu itu akan mendatangkan fitnah pada kita sendiri. Kecualilah jika kita takut, jika ilmu yang dinyatakan itu membawa fitnah yang lebih besar dari fitnah yang ada ketika itu. Namun orang yang berilmu hendaklah tahu bahawa tidak ada fitnah yang lebih besar dari fitnah tidak berilmu dan menyembunyikan Ilmu.
Kerana dengan sebab menyembunyikan Ilmulah orang berpecah belah. Manakan tidak berpecah belah, jika seorang dua sahaja ulama yang sanggup menyampaikan ilmu, sedangkan yang lain takut menyampaikannya dengan alasan takut fitnah. Jadi ilmu yang sebenar tidak dapat disampaikan dengan baik kerana kekurangan sokongan dan kekurangan orang yang benar-benar berani menyampaikan ilmu yang sebenarnya.
Selain itu banyak juga ulama yang tidak berani menyampaikan ilmu yang benar kerana takut mewajibkan diri mereka sendiri. Sebagaimana kewajipan solat fardhu berjemaah. Padahal sudah jelas Rasulullah saw mahu membakar rumah orang yang tidak mahu solat berjemaah. Dan sudah jelas Rasulullah saw memerintahkan sahabat yang buta untuk solat fardhu berjemaah di masjid, walaupun ia tiada pemimpin dan sudah tua pula. Ulama-ulama itu bagaikan perokok yang tidak mahu berhenti merokok. Mereka memberikan alasan-alasan mereka agar mereka masih boleh merokok.
Itulah tugas orang yang berilmu sebenarnya. Mereka patut dan wajib menyampaikan Ilmu agar mereka tidak dilaknat oleh Allah swt.
Memilih Pendapat Ulama Dengan Berdasarkan Ilmu Sains Moden
Ada lagi pendapat ulama yang telah dibahaskan sehingga tidak mencapai kata putus, bahkan sehingga perlu melihat siapa yang lebih pakar dalam bahasa Arab. Contohnya dalam bab (3 Quru') bagi tempoh 'iddah kaum wanita yang diceraikan suami mereka.
Iddah wanita yang ada haid ialah tiga quru'.
Firman ALLAH :
والـمطلقات يتربصن بأنفسهن ثلاثة قروء ( البقرة : 228 )
Dan Wanita-Wanita yang ditalaq hendaklah menunggu sebelum bernikah dengan orang lain (ber'iddah) 3 Quru
Ulama berbeza pendapat kerana lafaz ‘quruk’ قروء mempunyai dua makna iaitu haid dan suci. Aishah dan Ibnu Umar berpendapat bahawa ia bermakna suci. Pendapat ini disokong oleh Malik, Syafii dan Ahmad pada satu riwayat. Sementara Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali berpendapat ia ada haid. Abu Hanifah memilih pendapat ini.
Ulama Madzhab Syafie menyatakan oleh kerana Imam Syafie lebih pakar dalam bahasa Arab, maka 3 Quru' hendaklah bermaksud 3 kali suci.
Namun jika ia tiga kali suci sahaja, maka tempoh 'iddah yang akan dijalani sangat singkat. Ia boleh menjadi 1 bulan 2 hari sahaja jika kebetulan wanita yang ditalaq itu haid pada keesokan harinya. Kerana pada masa sebulan yang akan datang ia akan haid lagi dan sebelum tamat bulan itu, atau jika tempoh haidnya panjang sedikit, maka ia akan sudah suci pada suci yang ke 3 setelah ia suci itu. Jadi ia hanya memakan masa kurang dari 2 bulan.
Sedangkan bagi wanita yang telah putus Haid, di dalam al-Qur'an dijelaskan sehingga 3 bulan Qamariah. Perbezaan antara keduanya adalah jauh. Selain itu, Dari segi Ilmu Sain kita tahu bahawa Haid adalah petunjuk kepada bersihnya rahim seorang wanita itu daripada sebarang kandungan. Oleh itu dengan berdasarkan pengetahuan Sains yang kita tahu ketika ini, maka adakah wajar bagi kita untuk mengatakan tempoh 'iddah seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya hanya sekadar sebulan 2 hari?
Maka adalah wajar kita memilih pendapat Madzhab Hanafi dan menolak secara ihtiyati iaitu berhati-hati pada pendapat madzhab yang lain. Sedangkan kita tidak melihat apa-apa faedahpun untuk mempercepatkan tempoh 'iddah dalam masa sebulan 2 hari. Namun untuk memanjangkan masanya sehingga 3 kali haid adalah besar faedahnya, kerana dengan ilmu yang kita ada ketika ini, kita tahu bahawa telah banyak berlaku perempuan yang haid sehingga berkali-kali banyaknya walaupun ia telah mengandung dan kandunganya selamat. Perkara ini terjadi kepada isteri saya sendiri. Dan saya melihat banyak wanita yang terkena seperti ini di hospital.
Jadi dengan adanya tempoh 3 kali haid, bermakna jika wanita itu mengandong, perutnya akan nampak besarnya. Oleh itu tidak ada masalah bahkan amat baik sekali jika 3 Quru' itu di tafsirkan sebagai 3 kali haid. Maka marilah memilih pendapat terbaik berdasarkan ilmu walaupun ianya ilmu sain sahaja. Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan