Rabu, 27 April 2011

RENUNGAN HAQIQI MENGENAI TARIAN POCO-POCO

View Image



السلام على من اتبع الهدى
بسم الله الرحمن الرحيم:

POCO-POCO TARIAN INDAH
INDAHKAN DIMATA SENANGKAN DIHATI
HATI TENANG SEHAT BERIBADAH
BERIBADAH IKHLAS TUNTUTAN ILAHI

ILAHI RABBI, KAMI BERMOHON
AGAR ULAMA BERSATU BERHUBUNG
MOGA PEKERTI  SEMAKIN RIMBUN
SEJAHTERA UGAMA SAMBUNG-BERSAMBUNG


RENUNGAN HAQIQI MENGENAI TARIAN POCO-POCO

Ringkasan Adab memberikan Fatwa.
  1. Jika ada di dalam al-Qur’an hendaklah mengikut al-Qur’an
  2. Jika tiada al-Qur’an hendaklah pula menggunakan hadis
  3. Jika tiada di dalam hadis hendaklah menggunakan Ijmak ulama Islam seluruh dunia
  4. Jika Ijmak Ulama Islam Seluruh Dunia sukar di dapati maka bolehlah dengan menggunakan pendapat yang (rajih) atau terbaik di kalangan ulama
  5. Jika tiada pendapat yang rajih di kalangan ulama atau jika pandangan ulama yang rajih itu memudharatkan, maka bolehlah menggunakan pendapat yang kurang rajih,
  6. Jika tiada pendapat yang kurang rajih itu jua, atau pendapat yang kurang rajih itupun memudharatkan, maka ulama-ulama di sarankan oleh syara’ untuk memberikan pendapat sendiri, mengikut adat dan sebagainya, walaubagaimanapun hendaklah sebaiknya merujuk kembali kepada pendapat yang ijmak, jika ada kesempatan mengumpul ulama setelah itu.

Soalan-Soalan 

a.       Soalnya sekarang dalam memberikan fatwa mengenai tarian POCO-POCO, adakah ulama-ulama di Malaysia telah mengambil inisiatif mengumpulkan ulama-ulama Islam seluruh dunia? 
  
b.      Atau adakah telah mengirimkan pada mereka soalan-soalan itu untuk mereka jawab dan jawaban itu dikumpulkan untuk melihat samada mereka bersatu pendapat atau tidak? 

c.       Atau adakah mereka telah kesuntukan masa untuk meminta fatwa dari seluruh ulama dunia sebelum memberikan fatwa mereka? 

d.      Jika mereka kesuntukan masa, adakah mereka telah merujuk setelah itu pada ulama-ulama dunia untuk membuat keputusan semula? 

e.      Lalu jika prosedur di atas tidak dilaksanakan adakah fatwa yang telah diberikan itu sudah kukuh setaraf dengan Ijmak Ulama?  

Jika prosedur Ijmak itu dilakukan, maka tidak syak lagi fatwa yang mereka berikan itu adalah fatwa yang Ijmak dan kukuh.

Pendapat Penulis mengenai Fatwa JMFK terhadap TARIAN POCO-POCO

Maafkan saya dari hujung rambut kehujung kaki kerana terpaksa menyentuh benda yang amat sensitif ini. Namun jika saya tidak menyatakannya, saya takut dipersoalkan di akhirat jua. Kenapa tidak menyatakan perkara yang saya tahu. Semoga penjelasan ini meemberikan ketenangan jua. Amin.

Pada pendapat saya, Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia sebenarnya betul dalam memberikan fatwa mereka, namun mereka terlepas arah sehingga ada terdapat kesilapan kecil di dalam fatwa mereka.  Selain dari tidak mendapatkan Ijmak Ulama seluruh dunia, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyebutkan fatwa itu terbalik.

Fatwa Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berbunyi:-

TARIAN POCO-POCO ADALAH HALAL, MELAINKAN JIKA DICAMPUR DENGAN PERKARA-PERKARA YANG DITEGAH UGAMA, SEPERTI PERCAMPURAN LELAKI PEREMPUAN DAN SEBAGAINYA.

Pada pendapat saya ia perlu disebut sebagai:

TARIAN  POCO-POCO ADALAH HARAM BAGI WANITA, MELAINKAN JIKA IA TIDAK DICAMPUR DENGAN PERKARA-PERKARA HARAM DALAM UGAMA.

Beza antara kedua-dua perkara ini walaupun nampak sedikit, namun kesannya jauh beribu batu. Ia adalah umpama kita menghalalkan daging sembelih di supermarket atau mengharamkannya.
Bezanya ialah apakah yang perlu kita utamakan dan dulukan untuk disebut, halal atau haram.

Selain itu kita juga perlu menimbangkan di antara Maslahah dan juga Masalah. Mungkin sesuatu itu mendatangkan maslahah, tetapi mungkin jika tidak dijaga ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar.
Bila kita mengharamkan terlebih dulu baru menghalalkannya sesudah syarat dipenuhi, maka orang akan berwaspada agar jangan terlanggar perkara haram itu. Umpama berwaspada terhadap daging babi.

Namun jika kita menghalalkan terlebih dulu baru mengharamkannya jika ada perkara yang meragukan atau mengharamkan, maka orang akan kurang waspada umpama kita membenarkan makanan-makanan tin dan bungkus untuk dijual dikedai-kedai.  Walaupun sudah banyak warta-warta yang menyatakan cap-cap halal yang ditulis dari luar negeri itu meragukan, lebih-lebih lagi cap-cap yang bukan dari majlis ulama kebangsaan suatu negeri, namun dibeli dan dimakan jua. Tidak seperti daging babi. Orang akan terus menghindarinya.

Maka disinilah peranan sebutan suatu fatwa itu sehingga ia perlu diperbetulkan dan diperhalusi sebaik mungkin. Kerana apabila kita menghalalkan terlebih dulu tarian Poco-Poco itu, maka orang ramai akan membuatnya terlebih dulu sebelum bertanya adakah ada apa-apa yang terdapat dalam tarian mereka itu perkara-perkara yang haram.

Namun jika kita haramkan terlebih dulu, maka insya Allah bagi peminat-peminat yang ikhlas dan mahu beribadah dalam beriadah, mereka akan bertanya dulu syarat-syarat yang perlu untuk menghalalkan tarian itu sebelum melakukan tarian.

Pendapat Penulis Mengenai Tarian Poco-Poco
Baiklah, apa yang saya lihat, tarian poco-poco itu jika dilakukan oleh wanita sahaja, maka walaupun mereka itu bertudung lengkap, namun mereka tidak boleh dilihat atau direkam gambar mereka oleh lelaki ajnabi maupun saudara-saudara mara yang masih halal nikah. Kerana perkara ini akan menunjukkan aurat mereka di mata orang lain. Kerana dalam Islam menunjukkan bentuk tubuh kepada ajnabi jua adalah haram. Dengan tarian poco-poco, bahkan dalam apa juapun tarian maupun senam erobik, jelas ia boleh menunjukkan bentuk-bentuk tubuh wanita kepada orang lain bila mereka menggerakkan tarian itu. Oleh itu walaupun percampuran dapat dielakkan, namun pandangan lelaki hendaklah ditutup habis.

Selain itu, jika lagu mereka diganti dengan lagu-lagu dakwah, bahkan lebih baik lagi lagu-lagu memuji Nabi Muhamad saw, maka tiadalah lagi ada apa-apa kesalahan yang saya lihat di dalamnya. Mudah-mudahan bermanfaat. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan