Rabu, 7 Mac 2012

Perselisihan Ummat Dan Bagaimana Penyelesaiannya

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والسلام على من اتبع الهدى


Kita kadang-kadang diajukan suatu fakta atau masalah atau perkara baru yang tidak pernah dengar dalam ugama. Kadang-kadang fakta itu berlawanan dengan fahaman kita. Apa yang merisaukan kita ialah, kita takut ianya akan melemahkan fahaman orang-orang yang baru belajar ugama. Kita takut orang-orang yang baru belajar akan berhenti belajar atau lebih teruk lagi mereka meninggalkan ugama kerana ketidaksefahaman kita dalam berugama.


Adakah kita perlu menegur pemberi fakta tersebut agar ia berhenti agar orang-orang yang baru belajar ugama tidak tersalah faham dan tidak pula memandang serong terhadap ugama, atau kita perlu memintanya agar memberikan keterangan yang lebih dalam agar orang yang membacanya faham terhadap fakta yang diberikan. Namun malangnya ada sesetengah pihak, ada yang terlupa memberikan penerangan mereka terhadap fakta yang dipersoalkan pembaca.


Apakah perkara yang patut kita lakukan dalam mengatasi masalah ini? Adakah kita patut menambah perkongsian itu dengan menerangkan keterangannya yang putus. Atau adakah kita perlu membiarkan sahaja sehingga kehadiran pemilik fakta untuk mengubahnya?


Sebagai orang yang baru belajar, memang banyak yang masih mengelirukan dalam hal-hal seperti ini. Memang merisaukan dan memang menakutkan. Memang banyak ustaz-ustaz yang merasa perkara yang dalam-dalam ini perlu didiamkan sahaja.


Walaubagaimanapun, perkara ini pada pendapat saya amat berbeza pula. Saya lebih suka ianya dijelaskan, namun penjelasannya hendaklah dengan secara hikmah dan detail. Berwaspada agar tidak timbul perselisihan. Dan tidak sefahaman dalam ugama.


Kerana dengan jalan penerangan dan perbincangan inilah saja kita akan dapat bersatu semula. Selain itu, jika kita asyik mendiamkan perkara yang dalam ini, sampai bilakah kita akan mendapat Ilmu.


Jarak antara kita dan Nabi Muhammad saw sudah lebih 1400 tahun. Adakah tempoh ini tidak cukup untuk mengatakan bahawa kita sudah bersedia menerima ilmu apa sahaja dari ugama? Adakah keadaan seperti sekarang ini membolehkan kita menyembunyikan sesiatu dari Ilmu.


Al-Hamdulillah. Namun pada hari ini, kita semua sama-sama risau pada penyelewenga-penyelewengan ugama yang semakin banyak berlaku.

Setiap kata hikmah ulama yang diberikan akan ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran. Itulah yang berlaku ketika ini. Dan kerana inilah juga semakin banyak perpecahan dalam umat Islam.

Dan kerana itulah juga Nabi Muhammad saw bersabda " bahawa umat Yahudi akan berpecah kepada 71 golongan, umat Nasrani akan berpecah kepada 72 Golongan dan Umat Islam akan berpecah kepada 73 Golongan, Cuma satu golongan yang selamat, iaitu golongan mengikut Sunnahku dan sunnah-sunnah khulafa al-Rasyidin.

Dalam riwayat yang lain golongan yang selamat ialah golongan Jamaah. (Bilangan yang paling banyak dari semua golongan itu)

Nombor 71 hingga 73 ini menurut sebilangan ulama yang muktabar, bukanlah tepat 71 hingga 73. Sebenarnya umat Arab memang suka menggunakan bilangan 7 ini untuk mengatakan ia suatu yang banyak dan tidak dapat dihitung. Angka 73 bagi umat Islam dalam hadis ini menandakan bahawa umat Islam itu lebih banyak berpecah dari umat yang sebelumnya.

Perkara ini menjadi kenyataan sekarang. Kerana apabila kita lihat umat Yahudi itu ketika ini tidak melebihi 25 juta orang jadi tentulah perpecahan mereka juga agak kurang. Manakala golongan kristian pula, walaupun mereka umat yang besar dan perpecahan mereka kalau dikira berarus-ratus jumlahnya, namun perpecahan dikalangan umat Islam sebenarnya lagi banyak.

Daripada Hadis ini sebenarnya, dapat kita pastikan bahawa, pihak-pihak yang mengatakan mereka lebih baik dari golongan yang lain, mungkin akan terkeluar dari Jama'ah Islam. Sebab apabila ia mengatakan golongannya lebih baik, maka ia akan mencipta satu golongan.

Oleh itu kita tidak boleh mengatakan dengan pasti kita lebih baik dari orang lain sebab mana tahu pendapat kita yang kita pegang juga adalah salah.

Kita juga tidak boleh membiarkan diri kita dalam keadaan yang tidak betul pada pendapat kita. Kerana dalam keadaan ini akan menyebabkan kita terlepas dari golongan yang memegang Sunnah Rasulullah saw. Oleh itu kita hendaklah sentiasa membaca al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw dan mengamalkan apa yang dibaca itu dan mengajarkannya pada umat Islam di masjid. Kerana dengan itu sahaja kita akan tetap berada dijalan yang lurus dan sentiasa menyertai Jemaah. Kenapa di masjid, kerana di masjidlah tempat yan terbaik untuk berjemaah dan belajar disebabkan nur yang di dapati dari sana adalah nur dan petunjuk yang tertinggi jauh meninggalkan tempat-tempat lain.

Kita juga tidak boleh mengatakan umat Islam yang lain adalah umat yang salah dari segi syariah dan akidahnya. Lebih -lebih lagi jika mereka sudah melaksanakan rukun Islam yang lima dan mengakui 6 asas rukun Iman. Sebab jika berlaku perselisihan pendapat, mereka mempunyai alasan mereka yang kuat. Mengatakan orang salah, akan menimbulkan perselisihan serta merta.

Oleh itu, umat Islam ketika ini hendaklah belajar dengan ikhlas dari setiap golongan yang ada untuk mencari kebenaran dan bukan untuk mencari kesalahan. Kerana setiap golongan Umat Islam itu ada keistimewaannya masing-masing. Kita juga perlu belajar dengan sabar, kerana setiap ulama itu sebenarnya di uji oleh Allah swt dengan ulama yang lain pula. Ingatlah kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s.

Sebenarnya perpecahan dalam Islam ini telah ujud di zaman nabi Muhamamad saw sendiri. Beginda telah berdoa kepada Allah swt agar umatnya tetap dalam satu golongan sahaja. Namun apakan daya, inilah salah satu dari 3 doa Nabi Muhammad saw yang tidak di makbulkan Oleh Allah swt. Kerana Allah swt telah mentaqdirkan perpecahan golongan-golongan ini sebelum mencipta manusia lagi.


Kita tidak tahu mengapakah Allah swt mentaqdirkan perpecahan ini kepada umat Islam?, namun kita hanya dapat mengagak, antaranya ialah di dalam al-Qur'an disebutkan untuk kita saling kenal mengenal di antara satu sama lain, selain itu agar kita berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan masing-masing menurut ajaran yang dipelajari dari guru mereka. Namun tidak boleh merasakan golongan sendiri lebih baik, kerana selain dari mengujudkan perpisahan tadi, ia juga akan mengujudkan kemalasan pada diri sendiri untuk belajar dan beramal kerana merasakan diri sudah hebat.


Selain itu saya juga berpendapat bahawa perpecahan ini ada hikmahnya, iaitu agar kita akan merasa bahgia bila kita dapat berkumpul semula seperti sebuah keluarga yang berpisah kerana pertikaian, tetapi bila mereka membuang yang keruh dan mengambil yang jernih dan sama-sama melupakan perselisihan, kemudian mereka sentiasa pula duduk bersama-sama dalam satu jamaah di masjid, maka tentunya nanti kebahgiaan yang di rasakan adalah ibarat sudah berada di dalam syurga.

Inilah syurga dunia yang diceritakan oleh ulama-ulama itu. Barang siapa yang tidak merasakannya di dunia, maka sukar baginya untuk merasakannya di akhirat. Semoga kita akan menjadi golongan yang selamat itu. Dan semoga bermanfaat. Aaamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan